Saturday 26 November 2011

Hidayah dan Cinta

Ratusan orang berpusu-pusu kearah dewan, aku di belakang masih agak tidak bersemangat untuk memulakan hari pertama di kolej. Ada yang berbaju kurung, ada yang sekadar kemeja ada yang berjalan berkumpulan dan masing-masing seolah-olah gembira memulakan pengajian disini. Aku? Hambar. Aku tidak berminat langsung untuk meneruskan pengajian, tetapi memandangkan ini harapan kedua ibu bapa ku, aku akur.
Selepas habis taklimat di dewan, aku bergerak ke kelasku. Tiada sedikit perasaan teruja untuk berkenalan atau beramah mesra dengan rakan-rakan yang lain. Tiba-tiba kelas sunyi sepi, seorang pelajar lelaki berkopiah masuk ke kelas.
“Eh, mamat ni dah salah kelas ke” detik hati kecilku. Dalam terasa jelik terhadap pelajar lelaki itu, aku mencuri-curi pandang kearahnya. Ya, wajahnya bersih, dan dia bersalaman dengan pelajar lelaki lain selepas itu dia hanya tunduk kearah buku. Tiada langsung rasa ingin menoleh kearah kami pelajar perempuan yang lain.
Kelas pada hari ini tamat pada pukul 5.00 petang, tetapi kami menerima tugasan kumpulan. Nampaknya aku terpaksa bekerja dengan ‘mamat diam’ itu! Selain itu, Anis dan Badrul juga sekumpulan denganku.
“Bila kita boleh diskus tugasan kita” Tanya Badrul sambil memerhati kearah kami semua.
“Kita hanya ada 3 hari untuk siapkan tugasan ni, jadi boleh kita mula dengan bincang tentang pembahagian tugas malam ini?” Anis mencelah.
Aku dan mamat diam itu hanya diam mendengar.
“Amir, malam ni ok?” Badrul bertanya kearah mamat diam itu.. Oh, Amir namanya.Aku belum dengar lagi suaranya.
“InsyaAllah, tetapi pukul  berapa tu? Saya ada kerja sedikit dekat surau lepas maghrib nanti. Dalam pukul 9.00 malam boleh?”
“Ok kalau macam tu, jumpa dekat perpustakaan ya. Amira kau ok kan?” Anis menepuk bahuku.
Ya, fikiranku sudah melayang-layang. Penat sebenarnya. Aku hanya mengangguk setuju.
Bunyi ketukan di luar pintu buat aku terjaga dari tidur. Dengan malas aku membuka pintu bilik.
“Amira, eh kau tak siap lagi. Dah pukul 8.40 ni” Anis sedikit terkejut memandangku.
“Oh, aku tertidur, masuk la dulu. Aku bersiap kejap”
“Kau boleh solat? Kau pergi mandi dulu, aku mesej Badrul cakap kita lambat sedikit.”
“Erm” aku tak mampu nak berkata apa.
Setibanya kami di perpustakaan, Badrul dan Amir masing-masing sudah sibuk berbincang. Dan aku sedikit terpaku memandang Amir yang agak semangat menulis itu dan ini di dalam buku.
“Lama bersiap yer” Badrul memulakan bicara dengan agak sinis.
Kami berdua hanya tersenyum menutup kesalahan sendiri, kesalahan aku sebenarnya. Amir hanya senyum dan diam.
Perbincangan kami bermula dan aku sedikit kagum dengan Amir sebenarnya. Betulah pepatah “don’t judge a book by its cover”  Amir aku rasa sangat bijak, dan cara dia berbicara sangat yakin dan tenang. Dan apa jua idea yang keluar dari mulutnya sangat mengkagumkan aku. Aku serba sedikit rasa tertarik untuk meluahkan idea kerana mungkin ini tugasan Fizik, tugasan kegemaran ku. Setelah perbincangan kami tamat, bermula lah sesi perkenalan secara tidak formal antara kami. Dan aku seperti tidak percaya yang aku begitu meneliti setiap butir bicara Amir!
Aku dan Anis berjalan bersama pulang ke bilik.
“Mira, kau bukan senyap sangat dan aku suka idea-idea kau tadi” senyum Anis memandangku.
“Aku tak minat nak belajar dan aku tak tahu kenapa aku datang kesini” Ujarku terus terang kerana aku rasa Anis sahaja kawanku sekarang.
“InsyaAllah, ada hikmah semua ini. Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah” sedikit nasihat dari Anis masuk ke hatiku.
Sekejap sahaja masa berlalu, sudah sebulan aku di kolej ini, sekarang aku sering bersama Anis. Walaupun secara luaran personaliti kami bagai langit dan bumi, tapi aku senang bersama Anis. Dan yang paling aku takuti aku seperti mempunyai perasaan yang aneh terhadap Amir. Ya, aku akui aku tidak suka lelaki yang berkopiah itu pada mulanya, tetapi aku terasa ingin lebih kenal dengan Amir.
Bukan sekali aku mencuri-curi menghendap Amir dari tingkap bilik ku. Aku seperti dapat menghafal rutin seharian Amir. Sebelum azan berkumandang di masjid, aku akan melihat kelibat Amir berjalan kea rah masjid. Mujur masjid dekat dengan bilik ku.
Petang itu, kami diberi tugasan seperti biasa. Seperti biasa kami berempat menuju ke perpustakaan untuk menyelesaikan tugasan yang diberi oleh Puan Zuraida. Kami bertiga sahaja yang awal ke perpustakaan, menurut Badrul Amir lambat sedikit. Tetapi aku perasan akan buku Amir yang Badrul pegang.
“Eh, ni buku Amir. Boleh aku tengok kejap. Nak tengok nota tadi” dalihku kepada Badrul.
“Ya, ada nota tentang tugasan kita dalam tu, tolong cari kejap” Arah Badrul
Aku terus menyelak buku nota Amir, dan dihalaman pertama aku terbaca satu ayat
‘Ya Allah, aku memohon cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta akan perbuatan yang dapat mendekatkan diriku kepada cinta-Mu. (HR At-Tirmidzi)’
Aku terdiam. Amir sibuk mengejar cinta kepada Allah SWT, tetapi kenapa aku sibuk mengejar cinta terhadapnya?
Disebelah petangnya, aku dan Anis berjalan-jalan di taman. Selalunya aku lebih gemar menghabiskan masa di bilik, tetapi ku lihat Anis beria-ia mengajak ku keluar.
“Anis, boleh aku Tanya kau sesuatu” Tanya aku dengan nada yang rendah.
“Yer, tanyalah Mira. Kau macam tak biasa dengan aku kan” senyumnya.
“Kau pernah jatuh cinta?”
“Cinta? Aku memang tengah bercinta sekarang”
“Sungguh Anis? Dengan siapa?” soalku laju. Anis, aku sangat respek terhadapnya, batas pergaulannya yang dijaga, penampilannya bagai seorang ustazah tetapi bercinta? Aku agak aneh sebenarnya.
“Mira, kita ini orang Islam kan, Islam itu sebenarnya agama yang membawa matlamat cinta” jelas Anis.
“Aku tak faham la” jelasku
“Ya aku bercinta. Aku cinta pada Allah, aku cinta pada rasul, aku cinta pada negara dan aku cinta sesame manusia. Rasulullah pun ada menekankan dalam mendidik anak-anak daripada kecil kena diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadis ada mengatakan tanamkan diri anak-anak kamu cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca Al-Quran” ujar Anis panjang.
“Anis, kalau aku katakana aku sudah jatuh cinta kepada seseorang” ujar aku lambat-lambat.
“Susah sebenarnya untuk aku terangkan, kalau aku, aku akan bertanya pada diriku sendiri, sudah cukupkah rasa kasih dan cinta aku kepada Allah kepada rasul? untuk aku mencintai seseorang itu?”
“Tetapi macam mana aku nak elakkan perasaan itu Anis?” tanyaku
“Cinta itu fitrah Mira, perasaan untuk berpasangan dan bercinta adalah fitrah yang telah diberi oleh Allah kepada hambanya. Hendaklah cinta itu didasari kepada cinta akan Allah. Maksudnya cinta yang kita berikan kepadanya itu kita mengharapkan keredhaan Allah. Hampirkan diri kepada Allah”
“Ya aku rasa dia tak layak utuk aku. Dia baik”
“Mira, kau salurkan rasa suka itu hanya pada peribadinya, contohilah peribadi yang baik yang ada padanya. Jangan sampai cinta itu menodai kita. Bila kita melayan perasaan, syaitan akan memainkan peranannya dengan menggganggu hati kita untuk fikirkan si lelaki itu dari mengingati Allah”
Kata-kata Anis meusuk hatiku. Anis menambah.
“Dalam surah Al-Nur ada mengatakan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik, semoga kita dapat memperbaiki diri kita kearah kebaikan, InsyaAllah kita akan mendapat jodoh yang baik Mira” senyum Anis.
Aku tidak mampu berkata apa-apa. Hanya linangan air mata yang menggantikan jawapan.
“InsyaAllah Mira, jodoh, pertemuan semua ditangan Allah. Berdoa banyak-banyak”
Aku balik dan cuba memuhasabah diri ku. Aku berterima kasih kepada Anis. Aku terlalu alpa dan lalai dalam mengejar cinta duniawi sehingga lupa akan cinta hakiki.
———————————————
6 tahun berlalu, aku sekarang bergelar guru di sebuah sekolah. Kehidupanku sekarang lebih terisi dan jiwaku semakin tenang. Ibu dan ayah dirumah sudah sibuk tentang bakal suami. Amir. Dialah lelaki pertama dan terakhir yang pernah aku jatuh hati. Aku hanya tersenyum mengingati zaman remaja ku. Lamunanku tersentak dengan panggilan seseorang.
“Mengelamun jauh nampak” usik Syikin guru kimia di sekolah ini.
“Tak adalah. Penat sikit. Bila cikgu Fizik baru nak masuk ya?”  Kekurangan guru Fizik di sekolah ini menjadikan aku sedikit terkejar-kejar kerana banyak kelas yang terpaksa aku masuki.
“Dah sampai dah pun. Aku ingat Ustaz baru tadi rupanya cikgu fizik” senyum Syikin yang memang suka berseloroh.
“Assalamualaikum” ujar suatu suara yang aku rasa pernah aku dengar.
Tersentak aku, Amir! Baru tadi aku teringat tentang zaman remaja aku, kini Amir muncul. Kecil sungguh dunia.
“Waalaikumusalam” Syikin dan aku menjawab perlahan.
“Amira?” tanyanya seolah agak terkejut juga.
Akhirnya kami sama tersenyum. Amir bakal mengajar fizik di sekolah ini. Banyak juga tugas yang perlu aku serahkan kepada Amir.
“Eh dah kenal, senang la kerja nanti” seloroh Syikin.
Amir seperti dahulu hanya tersenyum.
“Bolehla Mira tunjuk ajar sedikit apa yang perlu. Pengetua beritahu awak yang akan terangkan kelas mana yang akan saya ambil alih nanti kan”
“InsyaAllah, nanti saya terangkan”
Kedatangan Amir di sekolah ini serba sedikit menganggu aku. Aku agak kekok sebenarnya, tidak dinafikan ada sedikit perasaan yang berbekas dalam hatiku. Dan aku juga dapat merasakan situasi yang sama berlaku terhadap Amir. Walaupun kami saling mengenali, tetapi bicara kami agak terbatas. Suatu hari, aku ternampak surat di atas mejaku.
Assalamualaikum wbt,
Amira Humaira bt Hishamuddin,
Saya tidak pandai untuk berkata-kata, Juga tidak mampu mengarang ayat yang luar biasa. Hanya satu jawapan yang saya pinta. Sudikah awak menjadi bakal zaujah saya?
“Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu”
Bukan harta yang saya pinta, bukan juga keturunan yang menjadi keutamaan, bukan kecantikan yang menjadi idaman, tetapi kefasihan agama itu yang saya dambakan.
Maaf terpaksa mengutus surat, dan jika awak setuju, akan saya hantarkan wakil meminang hujung bulan ini. InsyaAllah.
Amir Redha b Ibrahim
Aku hanya diam terpaku. Menitis air mataku. Terngiang kembali kata-kata Anis dahulu.
“Kalau dah jodoh tak akan kemana”
Aku pulang kerumah berdoa dan beristikharah kepada Allah. Keesokannya aku hanya membalas suratnya dengan ucapan salam dan alamat rumahku dan menjemputnya hadir kerumahku minggu ini untuk diperkenalkan kepada orang tuaku.
 hakikat jodoh,kenal atau tidak itulah jodoh kita.Perempuan-perempuan yang baik utk laki-laki yang baik,laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik dan begitulah sebaliknya.Jodoh pertemuan kita sudah ditetapkan olehNya.Maka berdoalah untuk dapat yang terbaik kerana doa boleh mengubah takdir.


No comments:

Post a Comment