Wednesday 23 May 2012

Luahan Tanpa Suara


Aku perhatikan satu persatu selipar yang ada di depan bilikku. Ada selipar Kak Ina, Kak Ida, dan Refa. Dan juga selipar hijauku yang tersusun kemas di tepi dinding. Fuh, lega tidak ada sesiapa yang datang malam ini! Dalam hati aku mengucap syukur  kerana aku tidak bertindak lebih jauh pada petang tadi. Kalau tidak mungkin akan jadi perang dingin dan masing-masing akan bermasam muka. Agakku sahaja. Allah masih lindungi aku. Syukur yang teramat.


Aku baharu pulang dari kelas malam. Hari ini seharian aku berada di fakulti. Tanggungjawab seorang pelajar perlu dilakukan dengan ikhlas. Baru ada keberkatannya di situ. Terngia-ngia lagi nasihat yang diberikan oleh seorang kenalan phD kepadaku beberapa hari yang lepas setelah aku mengeluh “terpaksa buat rajin”. Ayat terpaksa buat rajin untuk mencari bahan assignment telah jelas lagi terang menunjukkan aku terpaksa melakukan sesuatu tanpa kerelaan hati. Aduhai hati, ikhlaskan dirimu agar aku bisa memperoleh keberkatan di dalamnya.


Sekitar 10.30 malam kelas terakhirku tamat pada hari ini. Hari Selasa. Hari yang aku tidak berapa suka kerana jadual kelas aku penuh dari pukul lapan pagi sampailah pukul 10 malam. Penat. Hanya satu perkataan itu sahaja yang mampu kuucapkan di bibir ini. Aku selamat tiba di bilik hampir-hampir pukul 11 malam setelah proses menunggu dan menaiki bas selesai. Alhamdulilah, tamat sudah perjuanganku untuk hari ini. Semoga hari esok lebih baik daripada hari ini. Kusematkan secebis doa supaya hari-hari esok dapat dilalui dengan jayanya.


Sedang aku enak menikmati makan malam, nasi kukus ayam berempah, pintu bilik diketuk dan kedengaran perkataan Assalamualaikum! Ya Allah, aku ingatkan malam ini aku dapat tidur dengan senang. Ruang tidurku tidak akan  menjadi semakin sempit. Tapi semua itu hanya mimpi semalam. Kenapa mereka tidak faham? Perlukah aku bersuara? Suapan nasi menjadi semakin perlahan. Seleraku hilang karam dengan kedatangan mereka. Kubiarkan hati berbicara sendirian.


Rasa menyesal semakin menghimpit perasaan. Kenapa aku tak isi boring tukar bilik sahaja dahulu? Menyesal sekarang pun sudah tidak berguna kerana tarikh penghantaran borang tersebut telah tamat tempoh. Menyesal kerana aku tidak berani mencuba. Menyesal aku kerana takutkan perubahan. Menyesal  kerana aku tidak isi borang dan hantar. Aku takut andai aku berpindah keadaan masih sama. Tidak ada yang berubah. Tetapi, bijak pandai mengatakan untuk berjaya kita perlu berubah dan berani mencuba. Kejayaan itu bukan destinasi tetapi merupakan sebuah pengembaraan dan kita satu langkah ke arah kejayaan sekiranya kita berjaya dalam perjalanan tersebut. Aku? Aku di mana sekarang ini? Berada di dua persimpangan yang tidak tahu mana satu jalan yang harus aku pilih.


Aku buntu. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapa. Ikutkan hati aku yang tidak sabar ini, ingin sahaja aku tampal memo di depan cermin bilik. Supaya mereka tahu aku tidak sukakan keadaan itu. Tetapi keadaan mematikan hasrat tersebut setelah Kak Ina pulang awal petang tadi. Andai tiada sesiapa di dalam bilik petang tadi sudah lama kertas memo berwarna oren tertampal indah di cermin kesukaan semua. Tapi semua itu mustahil. Mustahil kerana aku tidak mampu melakukannya.


Pihak kolej telah menyediakan tempat untuk berdiscussion. Kita ada perpustakaan, Sanggar 12, Sanggar 15, dan juga kafe. Tetapi kenapa tempat-tempat tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya? Kenapa mesti bilik ini dan tidak bilik mereka? Bukan tidak boleh langsung di bilik ini. Tapi ada had dan batasnya. Perlukah sampai pukul sebelas malam ke atas? Penghuni-penghuni di dalamnya perlukan rehat yang secukupnya. Mereka penat setelah berhempas pulas di siang hari demi mengejar impian masing-masing. Mereka perlukan bilik yang tenang dan aman ketika kembalinya mereka di waktu malam. Aku dan mereka inginkan kedamaian. Tolonglah faham! Hati kecil ini merayu minta simpati walaupun tidak banyak cukuplah sekelumit tika.


Aku tekad, andai keadaan tidak berubah jua aku akan tukar bilik dan mungkin jua tidak akan balik bilik lagi. Aku nak balik Kedah! nak balik Kedah! Rasa menyesal itu bertandang lagi. Sekiranya dahulu aku minta UITM Merbok, aku boleh sahaja berulang dari rumah. Aku boleh sahaja bergolek-golek riang di atas katil tanpa gangguan sesiapa. Aku tidak perlu berkongsi semua perkara. Kalian perlu tahu, di UPM inilah aku berkongsi pelbagai perkara. Di sini aku belajar erti perkongsian. Aku belajar satu persatu dengan sabar supaya aku dapat sesuaikan diri. Aku belajar untuk study dalam keadaan ada orang. Diakui agak susah untukku menyesuaikan diri dalam keadaan sebegitu. Ketika study aku hanya boleh dengar  bunyi kipas dan juga bunyi alam sahaja. Bunyi semut berbisik juga tidak boleh kerana konsentrasiku akan terganggu. Dulu dan sekarang aku masih lagi dalam proses percubaan. Belum sepenuhnya berjaya lagi. Ya, memang betul sharing is caring but not everything.


         Yang aku nampak ada sedikit perubahan ialah pengurusan masaku. Kalau tidak mana mungkin aku akan menyertai Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi. Masa rehatku dihabiskan untuk belajar silat, seni mempertahankan diri warisan Melayu. Banyak yang aku pelajari di sana. Biarlah masa rehatku diambil sedikit asalkan aku perolehi ilmu dan kepuasan. Bukankah kita dituntut untuk menuntut sebanyak mungkin ilmu.


        Sudah jauh hati ini berbisik minta diluahkan apa yang terbuku. Tapi kuhanya mampu berdiam diri. Luahan hati tanpa suara amat menyesakkan jiwa. Amat memedihkan hati yang kian bengkak. Ya Allah, berikanku kekuatan dan berikanku kesabaran kerana sabar itu indah!




~~lalalalalala, sudah tentu cerita ini tidak ada kaitan dengan yang hidup ataupun telah meninggal dunia~lalalalalala

No comments:

Post a Comment